Teori Konspirasi : Siapa Kata Jualan Album Kita Lembap?

Submit By : Joe Hamzah

Sila download flash player
Code Video Untuk Myspace Friendster Dan Blog

Sejak akhir-akhir ini, industri muzik kita dilanda pelbagai persoalan tentang kemerosotan penjualan album. Tidak dinafikan, sedikit sebanyak tempias kegawatan ekonomi global turut dirasai penggiat seni tanahair. Namun, adakah ia benar-benar menjejaskan jumlah jualan album di negara kita? Kenapa ia terjadi? Apa pula alasan yang memungkinkan jumlah jualan terjejas teruk? Atau ianya sekadar ‘permainan kotor’ dari pihak tertentu untuk mengambil kesempatan bagi mengaut untung lebih.

Pelbagai pihak tampil untuk menjelaskan perkara sebenar. Antara alasan yang paling popular ialah ‘peredaran zaman’. Ya…dunia dah maju, kita harus bergerak pantas. Masyarakat pada masa kini mengejar kemajuan teknologi. Jadi, tidak perlu membeli sebuah album jika ianya boleh diperoleh melalui muat turun. Dengan kos yang lebih murah, kita boleh memilih variasi lagu yang diingini. Selain itu, harga bagi sebuah album juga turut dipersoal. Ada yang mengatakan terlalu mahal dan tidak setimpal dengan kualiti yang dipersembahkan. Itu cerita lain. Apa yang ingin dibincangkan ialah sejauh mana penurunan ini berlaku. Mungkin juga terselit suatu agenda di sebalik kejadian ini.

Terlebih dahulu, kita perlu kembali kepada pertimbangan logik akal menerusi pengiraan matematik. Sehingga bulan September 2008, rakyat Malaysia dianggarkan berjumlah 27,730,000 orang. Kita bahagikan jumlah ini kepada dua golongan iaitu golongan belia dan golongan tua serta kanak-kanak. Secara kasar, golongan belia di Malaysia berjumlah 14 juta orang. Kita kecilkan lagi angka ini kepada dua kumpulan iaitu kumpulan yang mengikuti perkembangan muzik tanahair dan satu lagi sebaliknya. Hasilnya, sejumlah 7 juta golongan belia yang mengikuti perkembangan muzik di Malaysia dan adakah mustahil kumpulan ini akan membeli album yang mereka minati? Apakah benar keluhan dari syarikat-syarikat rakaman yang kononnya sukar untuk melepasi angka jualan 10,000 unit bagi setiap album yang diterbitkan? Tepuk dada, tanya selera!

Mungkin para pembaca masih keliru dengan maksud yang ingin disampaikan oleh penulis.. Untuk gambaran yang lebih jelas, penulis ingin menarik perhatian kalian terhadap scene dikir barat yang sangat meriah di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung. Sebenarnya, mereka inilah yang memulakan scene independent di negara kita. Tanpa sokongan dari major label, mereka bergerak sendiri dengan mengadakan persembahan di ceruk-ceruk kampung dengan bayaran tiket semurah RM 3 sehingga RM 5. Paling membanggakan, setiap album dikir barat yang diterbitkan terjual melebihi 20,000 unit. Nah…apa lagi alasan yang mengatakan pasaran album kita lembap? Untuk rujukan, kalian boleh mengkaji tentang Juara-juara dikir barat seperti Halim Yazid, Zaidi Buluh Perindu, dan Cikgu Sulizi ataupun beberapa nama Tukang Karut antaranya Jen Endoro, Cikgu Naim, dan Pok Nik Man Cok Cangkul.

Walaupun terdapat perbezaan harga yang ketara bagi album dikir barat dan album konvensional, angka jualan itu sendiri membuktikan bahawasanya masih ramai yang membeli album sekaligus memberi gambaran jelas mengenai pasarannya di dalam negara kita. Cuba kalian imbas kembali kepada kejayaan Raihan menerusi album Puji-Pujian suatu ketika dahulu. Bagaimana mereka berjaya mencatat jualan melebihi 500,000 unit hanya dengan satu album? Apakah 500,000 orang yang membeli album Raihan dahulu sudah tidak berminat untuk membeli album artis masakini?
Jawapan bagi setiap persoalan di atas ialah ‘business is business’. Dalam perniagaan, apa yang penting ialah keuntungan. Apakah kalian yakin dengan angka jualan yang diberikan oleh syarikat rakaman terhadap album yang diterbitkan? Adakah wujud badan-badan tertentu yang membuat audit ke atas jualan album di negara kita? Apa pula peranan utama yang dimainkan oleh MACP? Jika benar penjualan album merosot, kenapa masih ada major label (mengambil kira pasaran album tempatan) yang mampu bertahan sehingga sekarang?(walaupun ada yang sudah tersungkur). Jika dibandingkan dengan kumpulan dikir barat tadi, artis yang bernaung di bawah major label mempunyai banyak kelebihan dari segi promosi, media coverage, dan populariti. Jadi, di mana silapnya sehingga album tidak mencatat jualan memuaskan. Mungkinkah rungutan mereka hanya sekadar lakonan bagi menutup limpahan keuntungan yang diperolehi?

Yang menghairankan, hampir setiap bulan akan ada rilisan terbaru yang diterbitkan oleh syarikat rakaman. Walaupun hanya rilisan kompilasi, persaingan di antara mereka menggambarkan seolah-olah pasaran album tempatan masih mendapat tempat di kalangan masyarakat. Dan, sudah semestinya lagu-lagu rock 90-an dikumpulkan dalam satu album waima sudah beratus kali lagu tersebut dikompilasikan. Maka, dengan pakej yang baru, syarikat rakaman ini berlumba-lumba memasarkan produk mereka dengan tajuk album seperti Gegar Rock, Gegar Lagi, Lagi-Lagi Gegar(hehehe),dan sebagainya bagi menarik minat pembeli. Jika pasaran album merosot, kenapa album sebegini masih diterbitkan sehingga sekarang? Prinsip ekonomi mengatakan pengeluaran mestilah bersandarkan permintaan. Mereka mengambil jalan pintas untuk mengaut keuntungan kerana album kompilasi tidak memerlukan kos yang tinggi. Inilah yang membangkitkan rasa tidak puas hati Radhi(Oag) sewaktu temubual bersama ROTTW suatu ketika dulu.

Dengan demikian, isu kemerosotan penjualan album tidak seburuk yang disangkakan. Penulis sengaja tidak menyentuh perihal cetak rompak kerana bagi diri penulis, ia hanyalah strategi pemasaran oleh ‘anasir-anasir’ jahat dalam industri muzik. Isu cetak rompak tidak akan selesai sampai bila-bila selagi ‘orang yang mencetak itu terus menerus memberi hasil cetakannya untuk dirompak’. Kalian terjemahkan sendiri maksud yang ingin disampaikan penulis. Apa yang pasti, pasaran untuk album tempatan masih lagi kukuh dan bagi memulihkannya, setiap penggiat seni harus bergiat aktif dalam mengeluarkan rilisan terbaru. Dan, untuk kepuasan maksimum, penulis sarankan supaya belajarlah bergerak secara totally DIY kerana dari situ kalian akan lebih memahami keadaan pasaran album dalam negara kita.

Usah harapkan ihsan dari kapitalis industri muzik kerana golongan ini hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Dari segi pemasaran, kita patut menjadikan Pop Shuvit dan Second Combat (sekadar beberapa nama) sebagai contoh terbaik yang berjaya memecahkan tembok sempadan tanpa bantuan dari label ‘gergasi’. Sememangnya tiada sempadan yang dapat membataskan pergerakan muzik itu sendiri dan segalanya terletak kepada iltizam kita. Bak kata pepatah, “genggam bara api biar sampai jadi arang”. Jika prinsip ini dipegang, tiada sebab untuk mempersoalkan kemerosotan pasaran album di negara kita. Sekian.

Artikel sumbangan Awe
Teks: PweQ_Mae@AWE
Anda mempunyai artikel untuk dikongsi? emailkan kepada kami malayapark@gmail.com

Comments

3 Comments on "Teori Konspirasi : Siapa Kata Jualan Album Kita Lembap?"

  1. conspiracy theory on

    nape gune nickname kte lak?? tukar bahase melayu lak.. tiru la..

  2. melodyindie.com on

    Aku betul2 setuju ttg ini…Label luar hanya mementingkan utg sahaja dan x kira kebajikan artis dan band2 serta pemuzik.Muncul yg baru yg lama senyap….

  3. LunA_LouNve on

    emm..no comment..tapi kdg2 ade btolnya jgak…aku sukung la sal kbnykn pihak mle la merepek ckp alsan peredaran zaman..tu zman jakpa tonggek pnyer ayat lar…